2011/06/22

Mengembalikan Status Kerakyatan Lim Lian Geok(Oleh MP Bakri)

Ucapan Penangguhan : Mengembalikan Status Kerakyatan Lim Lian Geok

Tahun ini genap 26 tahun Cikgu Lim Lian Geok telah meninggal dunia dan sepanjang tempoh ini, beliau telah dilabel sebagai Cauvinis oleh kerajaan. Perjuangan beliau terhadap bahasa ibunda bermula dari tahun 1951 merupakan satu wawasan yang telah mencetuskan kesedaran kepada masyarakat dunia dan akhirnya mengakibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan Bahasa Ibunda sebagai salah satu hak asasi manusia seperti yang terkandung dalam Laporan Education in Multilingual World, UNESCO pada tahun 2003.

Pada tahun 1953, UNESCO telah mengeluarkan laporan mengenai Penggunaan Bahasa Vernakular Dalam Pendidikan dan ini berterusan menjadikan salah satu perkara yang sering menjadi topik di dalam kertas kerja UNESCO mengenai isu bahasa dalam Pendidikan. Perubahan yang signifikan telah berlaku sepanjang 50 tahun yang lepas, namun begitu, dengan transformasi politik yang terarah kepada dasar bahasa baru terutamanya di negara-negara bekas jajahan, banyak bahasa telah mengalami kepupusan dan banyak lagi yang berada ditahap kemunduran.

Mendiang Cikgu Lim telah dipuja sebagai martir keramat oleh masyarakat Cina, dan ketidakadilan yang dialaminya bukan saja merupakan penghinaan terhadap masyarakat Cina pada keseluruhannya, juga membayangkan kerajaan persekutuan tiada keinginan untuk membetuli kesilapan yang begitu menonjol sekali.

Berdasarkan keadaan semasa Negara, perpaduan antara kaum merupakan subjek kritikal dalam pembangunan Negara. Pada masa menjelang kemerdekaan Malaya, Cikgu Lim dalam perutusan beliau yang disiarkan dalam Utusan Melayu sempena Perayaan Hari Raya Aidifitri telah mengemukakan konsep "Hidup Berbilang, Makmur Bersama"" yang dianggapnya sebagai perhitungan terpenting dalam pembentukan Negara.

Pada 12hb Ogos 1961, beliau telah menerima Surat Perlucutan Kewarganegaraan dengan alasan:

(a) mengelirukan dan memutarbelitkan Dasar Pelajaran Kerajaan, bertujuan untuk menghasut ketidakpuasan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan; dan

(b) membuat rayuan-rayuan emosional bersifat perkauman yang melampau bermaksud untuk mempromosi perasaan benci dan permusuhan antara pelbagai kaum di Persekutuan yang mungkin mengakibatkan kekecohan.

Selepas kerakyatannya ditarik balik, beliau enggan meninggalkan Malaya kerana berpendapat sendirinya tidak bersalah. Beliau tetap setia kepada negara dan bermastautin 24 tahun di Malaya selepas kerakyatannya dilucutkan. Beliau percayai satu hari keadilan akan ditegakkan.
Satu kempen keadilan untuk Cikgu Lim telah dilancarkan pada 8hb Mei 2011 oleh 81 pertubuhan masyarakat sivil. 600 orang menghadiri pelancaran tersebut sebulat suara meminta Kerajaan mengembalikan status kerakyatan beliau dan menggubal Akta Kesamarataan Pendidikan untuk menangani pendidikan Bahasa Ibunda secara adil dan saksama. Dengan ini saya meminta Kerajaan Persekutuan menyatakan adakah Kerajaan akan mengembalikan status kerakyataan kepada Cikgu Lim dan menggubalkan satu undang baru untuk memastikan sekolah kebangsaan dan sekolah aliran Cina dan Tamil mendapat peruntukan yang samarata.

Dibaca pada 22hb Jun 2011

Er Teck Hwa
Ahli Parlimen Bakri